“Pursuit of Knowledge” paparkan pergelutan 8 individu timba ilmu dan kejayaan

11 Ogos 2015

SINGAPURA: Masyarakat Melayu terbukti memiliki daya tahan yang kukuh untuk berjaya.

Ini jelas, menerusi penerbitan buku kompilasi “Pursuit of Knowledge”, yang memaparkan pergelutan lapan anggota masyarakat dalam mencari ilmu dan kejayaan.

Ada yang diduga dengan penyakit yang boleh merampas kejayaan hidupnya. Ada yang terpaksa membuat permulaan baru, menceburi bidang asing, atau terpaksa “jalan jauh” dalam mencari pendidikan.

Demikian antara inti lapan kisah sebenar dalam buku yang diterbitkan bersama oleh Pusat Kajian Ehwal Islam dan Melayu RIMA, dengan Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud, LBKM.

Bagi Syed Ahmad Syed Agil pula, beliau nyaris-nyaris putus asa apabila dicabar dengan dugaan yang terlalu hebat, dalam usahanya mendakapi minda belajar sepanjang hayat.

“Saya harap buku ini, cerita ini dapat dicontohi oleh masyarakat Melayu Islam Singapura. Kehidupan Singapura perlukan mereka-mereka yang senantiasa berubah dan masyarakat Melayu mesti berubah mengikut keadaan sezaman dan belajar sepanjang hayat dengan kaedah-kaedah, peluang yang ada,” ujar Encik Syed.

Melancarkan buku itu semalam, Setiausaha Parlimen Ehwal Dalam Negeri, Amrin Amin berkata, dengan inisiatif seperti Kredit SkillsFuture, faktor usia bukan lagi hambatan untuk memburu pembelajaran sepanjang hayat.

“Buku yang kami terbitkan ini bersama-sama RIMA merupakan Rancangan kami untuk menunjukkan kepada para pelajar yang lain ya, bahawa pembelajaran seumur hidup adalah satu proses yang saya rasa yang agak mencabar, dan dalam hal ini mereka boleh mengambil ikhtibar dan tauladan daripada cerita-cerita yang telah ditulis oleh lapan orang penulis bagi buku ini,” jelas Encik Amrin.

Memaparkan suka duka lapan warga biasa Kota Singa dalam mengharungi perjalanan akademik sehingga berjaya, buku tersebut diharap dapat merangsang dan memperkasa masyarakat Melayu amnya, untuk berjaya.

- BERITAMediaCorp/ag

 
© Copyright RIMA 2017 · All Rights Reserved