Perniagaan Melayu/Islam digalak manfaatkan program pemerintah

20 Mac 2016

SINGAPURA: Masyarakat perniagaan Melayu/Islam digalak memanfaatkan pelbagai program pemerintah untuk maju dalam bidang-bidang keusahawanan, pensejagatan dan penguasaan kemahiran.

Dengan berbuat demikian, mereka akan secara aktif menyumbang kepada kemajuan ekonomi negara serta pertumbuhan dan kejayaan masyarakat Melayu /Islam yang berterusan.

Demikian gesaan Menteri Perdagangan dan Perusahaan, S Iswaran di seminar ‘Community in Review’ anjuran Angkatan Karyawan Islam (AMP).

Seminar itu bertujuan mendapatkan perspektif yang menyeluruh tentang keadaan para pengusaha Melayu/Islam serta prospek untuk meraih kemajuan menerusi pandangan-pandangan masyarakat perniagaan dan ahli-ahli akademik.

Dalam ucapannya, Encik Iswaran menarik perhatian bahawa peluang-peluang dalam perniagaan bukan sekadar mencipta produk, perkhidmatan dan model perniagaan baru, tetapi juga bagaimana mereka dapat mentafsirkan semula secara kreatif idea-idea yang sedia ada.

Namun beliau akur bukan semua usahawan berjaya pada percubaan pertama.

Encik Iswaran berkata jumlah perniagaan baru sudah meningkat daripada 24,000 pada tahun 2005, kepada 55,000 pada tahun 2014.

“Jumlah aktiviti keusahawanan peringkat awal di Singapura, yang mewakili peratusan penduduk dalam usia bekerja yang bakal memulakan atau baru memulakan perniagaan baru, berkembang daripada 4.9 peratus pada tahun 2006 kepada 11 peratus pada tahun 2014.

“Kita perlu terus memperkukuhkan asas ini untuk memastikan ekosistem keusahawanan kami terus berkembang maju,” katanya.

Tambah Encik Iswaran, beliau gembira ramai rakyat muda bergiat aktif dalam perniagaan.

Bahkan, program-program seperti Program Perniagaan Mikro AMP juga membantu rakyat berpendapatan rendah belajar kemahiran memulakan perniagaan.

Naib Pengerusi AMP Group, Zhulkarnain Abdul Rahim, berkata: “Penting juga kita harus pertimbangkan statistik yang menunjukkan jumlah perniagaan yang dimulakan masyarakat Melayu jauh lebih tinggi dari purata nasional, iaitu 14 kali lebih tinggi.

“Ini semua menunjukkan bahawa masyarakat kita sudah bersedia untuk fasa ekonomi baru ini.”

Selain sokongan di peringkat individu dan perusahaan, para peniaga Melayu /Islam juga digesa agar memanfaatkan pelbagai jenis program yang ditawarkan agensi-agensi seperti SPRING Singapore, IE Singapore dan Penguasa Pembangunan Infokom (IDA).

- BERITAMediacorp/nd

 
© Copyright RIMA 2017 · All Rights Reserved