Pakar: Pengguna harus kawal selia sendiri Internet (Panelis seminar anjuran Rima berasa peraturan penguatkuasaan bukan cara terbaik)

15 Mac 2012

Cyberita  Asia

by Shamsul Jangarodin

TANGGUNGJAWAB semasa menggunakan ruang siber terletak pada bahu penggunanya.

Demikian pandangan para panelis seminar tahunan anjuran sayap penyelidikan Angkatan Karyawan Islam (AMP), Pusat Penyelidikan Hal Ehwal Islam dan Melayu (Rima), Community In Review (CIR) 2012, Sabtu lalu.

Mereka sependapat bahawa langkah mengadakan peraturan penguatkuasaan di Internet mungkin bukan cara terbaik mengawal pengguna di alam siber.

CIR kali ini membincangkan tentang cabaran terhadap fabrik berbilang kaum Singapura ekoran kesan komen berbaur perkauman dan negatif terhadap sesebuah agama di media sosial.

‘Huraiannya bukan menggunakan undang-undang, tetapi menjunjung kebebasan beragama dan bercakap di negara ini,’ kata seorang panelis, Profesor Madya Cherian George, seorang pakar komunikasi.

Semasa menjawab soalan seorang peserta Melayu berfahaman Syiah yang mengatakan setiap pandangan agamanya dianggap sebagai kata-kata kufur oleh masyarakat majoriti Melayu/Islam yang berfahaman Sunni, Profesor George berkata ‘undang-undang hanya digunakan apabila kata-kata itu menyebabkan timbul sebarang tindakan ganas’.

Tiga lagi ahli panel ialah pakar perundangan, Penolong Profesor Eugene Tan; pakar sosiologi, Penolong Profesor Kamaludeen Mohamed Nasir; dan Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chua Kang, Encik Zaqy Mohamad.

Dalam ucapan pembukaan seminar itu, pengerusi AMP, Encik Azmoon Ahmad, menggesa badan-badan Melayu/Islam menjalinkan hubungan kerjasama lebih erat agar dapat memberi respons kepada cabaran media sosial serta menangani kesannya dengan lebih baik.

Ini kerana media sosial semakin dijadikan sebagai alat oleh sesetengah pihak bagi melontarkan kekata yang boleh menggugat keharmonian budaya, bangsa dan agama di Singapura.

‘Kita telah melihat sejak beberapa tahun kebelakangan ini hubungan harmoni antara kaum di Singapura diuji menerusi tulisan di media sosial,’ kata Encik Azmoon.

Sementara itu, semasa ditemui selepas seminar itu, Encik Zaqy berkata beberapa episod AP dikritik hebat kerana menulis pos yang kurang disenangi sebilangan orang tidak akan membuat mereka menjauhkan diri daripada media sosial.

‘Kita harus beri lebih kelonggaran kepada AP. Kalau setiap ayat mereka diteliti terlalu mendalam, ia tidak memberi peluang kepada AP itu menjelaskan mengapa sesuatu dasar itu dibuat,’ kata beliau.

 
© Copyright RIMA 2017 · All Rights Reserved