Komentar: Ketidaksamarataan sentiasa wujud dalam masyarakat tetapi ia perlu dikawal dengan baik

30 November 2018
Oleh: ABDUL SHARIFF ABOO KASSIM, DR NURALIAH NORASID

 

BERITAmediacorp: Ketidaksamarataan boleh mengancam pembangunan sebuah masyarakat yang padu dan harmoni seperti Singapura. Turut dikhuatiri, ia boleh menghambat usaha untuk meningkatkan mobiliti sosial. Penyelidik Pusat Kajian Ehwal Islam dan Melayu (RIMA) Abdul Shariff Aboo Kassim dan Dr Nuraliah Norasid berhujah bahawa isu ini boleh ditangani jika perhatian diberikan dari sudut sosial dan pendidikan.

 

Perbincangan tentang ketidaksamarataan (inequality) sedang giat berlangsung. Banyak hujah telahpun dikemukakan oleh pelbagai pihak tentang punca ketidaksamarataan di Singapura dan bagaimana masalah ini boleh ditangani, termasuk dari sudut sosial dan pendidikan.

Antara perkara yang sangat membimbangkan adalah ketidaksamarataan boleh menjejas pembangunan sebuah masyarakat yang padu dan harmoni, dan menghindari usaha meningkatkan mobiliti sosial. Garis perbalahan di dalam masyarakat semakin beralih dari kaum dan agama kepada sesuatu yang melibatkan kelas.

Globalisasi adalah pemacu utama ekonomi Singapura. Namun, kuasa pasaran tidak akan selalu mengagihkan keuntungan ekonomi secara seimbang kepada semua tatatingkat sosial (social hierarchy).

Oleh itu, pihak pemerintah berusaha untuk mengenal pasti tahap-tahap di mana intervensi diperlukan (intervention points). Dasar pemerintah juga telah diluaskan untuk mengambil kira realiti semasa.

MENGHADAPI CABARAN BARU 

Contohnya, Menteri Kewangan Heng Swee Keat mendedahkan pada bulan Mac 2017 bahawa perbelanjaan sosial di dalam aspek perumahan, kesihatan, pendidikan dan pembangunan masyarakat meningkat hampir tiga kali ganda kepada S$34 bilion pada tahun kewangan 2016, berbanding dengan S$12.7 bilion sedekad yang lalu.

Peranan meritokrasi dalam mempengaruhi ketidaksamarataan juga telah dibincangkan. Menurut Menteri Pendidikan Ong Ye Kung, meritokrasi merupakan model terbaik untuk Singapura, tetapi perlu berubah untuk menghadapi cabaran baru.

Namun, masih ada beberapa aspek ketidaksamarataan yang masih perlu perbincangan yang lebih mendalam, terutama dalam bidang pendidikan.

PEDAGOGI DI SEKOLAH 

Satu kajian oleh Penolong Professor Leonel Lim dari Institut Pendidikan Nasional (NIE) dan Profesor Emeritus Michael W. Apple dari Universiti Wisconsin-Madison, mendedahkan terdapat ketidaksamarataan di dalam pedagogi sekolah-sekolah Singapura, terutama dari sudut kemahiran yang bernilai tinggi dalam pasaran pekerjaan seperti pemikiran kritikal.

Selain itu, ada juga yang berpendapat bahawa program khas “kebanyakannya tertumpu” di institusi elit, sehingga sukar untuk diakses oleh pelajar yang berbakat namun tidak bersekolah di institusi sedemikian (misalnya mereka dari sekolah kawasan kejiranan), tidak mempunyai latar belakang keluarga tertentu atau sokongan kewangan.

Menurut Profesor Madya Jason Tan dari Jabatan Dasar dan Pengajian Kepimpinan NIE, sokongan kewangan – yang sering merupakan derivatif langsung dari status kewangan ibu bapa – merupakan faktor penentu yang penting dalam pencapaian pendidikan meskipun sistem pendidikan telah disusun semula dengan tujuan untuk melengkapkan pelajar dengan bakat disiplin bukan akademik, seperti kesenian dan sukan.

PERBEZAAN SOSIAL 

Faktor-faktor seperti skim Pengambilan Masuk ke Sekolah secara Langsung (DSA) berpotensi untuk mengecualikan pelajar dari golongan berpendapatan rendah kerana ibu bapa yang berstatus sosio-ekonomi tinggi berupaya mengeluarkan belanja yang tinggi untuk sokongan tambahan bagi anak-anak mereka seperti bimbingan menulis karangan kemasukan sekolah dan untuk memperhalusi bakat.

Satu kajian yang diterbitkan di dalam OECD Insights pada tahun 2015 juga menunjukkan bahawa sistem pendidikan boleh “merumitkan lagi perbezaan sosial” dengan menawarkan “kualiti pendidikan yang rendah atau pilihan yang terhad” kepada pelajar dari latar belakang yang kurang bernasib baik.

Dalam konteks Singapura, mata pelajaran yang ditawarkan kepada pelajar Normal Teknikal (NT) agak terhad dan subjek yang dipelajari mungkin tidak selaras dengan minat mereka.

Sebagai contoh, seorang pelajar NT yang minat bidang sains kemasyarakatan dan ilmu kemanusiaan (humanities) mungkin tidak berpeluang mendalami minat mereka di peringkat pos-menengah kerana tidak ditawarkan peluang mengambil subjek seperti Geografi, Sejarah atau Kesusasteraan, yang boleh memberikan mereka lebih banyak pilihan dalam pendidikan tinggi mereka di dalam bidang tersebut.

TIGA JENIS KETIDAKSAMARATAAN 

Kajian OECD selanjutnya menyatakan bahawa walaupun hasil kajian menunjukkan bahawa menggabungkan pelajar dari latar belakang dan kebolehan sosial yang berbeza boleh meningkatkan prestasi keseluruhan tanpa menjejaskan prestasi pelajar yang lebih kuat, banyak sekolah masih lagi mengasingkan pelajar melalui penyaluran atau streamingdan program khusus.

Göran Therborn mengemukakan bahawa terdapat tiga jenis ketidaksamarataan. Yang pertama adalah ketidaksamarataan vital, di mana tahap kesejahteraan fizikal diagihkan dengan pola sosial (social patterns) yang jelas.

Mereka yang berada dalam kumpulan berpendapatan rendah lebih cenderung mengalami penyakit tidak berjangkit, lebih cenderung mempunyai kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan yang lebih buruk dan menghadapi kesulitan yang lebih besar untuk menguruskan keadaan mereka.

KEBEBASAN BERTINDAK 

Kedua, ketidaksamarataan eksistensial (existential), melibatkan kebebasan tindakan untuk kumpulan tertentu. Ini bererti pengiktirafan dan penghormatan yang sama ditolak berdasarkan alasan kaum, etnik, jantina, kewarganegaraan, dan kelas sosial.

Ia boleh mengambil bentuk diskriminasi secara terang-terangan atau dengan lebih halus melalui hierarki status (status hierarchy).

Bentuk ketidaksamarataan ketiga adalah ketidaksamarataan bahan atau sumber. Ketidaksamarataan bahan melibatkan ketidaksamarataan akses kepada bantuan akademik, kerjaya, dan/atau modal sosial; sedangkan ketidaksamarataan sumber merujuk kepada ketidaksamarataan hasil atau ganjaran.

Menurut Therborn, ketiga-tiga jenis ketidaksamarataan berinteraksi dan mempengaruhi satu sama lain dalam pelbagai cara dan dapat disimpulkan dalam pelbagai permutasi.

Sebagai contoh, ketidaksamarataan bahan atau sumber boleh membawa kepada pembentukan hierarki status, yang seterusnya boleh membawa kepada ketidaksamarataan eksistensial yang berkembang menjadi ketidaksamarataan vitalapabila seseorang individu dan/atau ahli keluarganya mencapai usia yang lebih tua dan menjadi lebih lemah.

MENANGANI KETIDAKSAMARATAAN 

Sesetengah perbincangan mengenai isu ketidaksamarataan – termasuk meritokrasi, daya tarikan sekolah elit, dan justifikasi bahawa seseorang itu layak mendapat pencapaian dalam kehidupan mereka, sama ada di sekolah berprestij atau kedudukan dalam jawatan-jawatan terkemuka – seolah-olah membayangkan bahawa ketidaksamarataan adalah fenomena semula jadi masyarakat manusia, terutama sekali apabila melibatkan meritokrasi.

ndp1

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

(Gambar fail: TODAYonline)

Terdapat juga yang memberi amaran bahawa penggunaan istilah seperti ‘kelas’ atau ‘kurang beruntung’ dalam pembahasan awam akan menyebabkan masyarakat yang berbelah.

Hujah-hujah tersebut mungkin mempunyai beberapa unsur kebenaran. Namun perdamaian dalam masyarakat Singapura sering dikatakan perlu dipelihara dengan ketidaksamarataan mempunyai impak terhadap kestabilan sosial dan politik.

ndp2

 

 

 

 

 

 

 

 

 

(Gambar: Kenneth Lim)

PEMAHAMAN MENDALAM

Oleh itu, ruang harus diberi kepada semua segmen masyarakat, tidak kira sama ada mereka pemimpin, para akademik atau masyarakat jelata, untuk mendapatkan pemahaman yang lebih mendalam tentang sebab-sebab intrinsik ketidaksamarataan.

Dasar pemerintah sejauh ini agak berkesan dalam mengurangkan jurang pendapatan melalui langkah-langkah seperti pemindahan sosial, yang berjaya menyederhanakan koefisien GINI Singapura sejak lima tahun lalu.

Dengan bantuannya yang progresif disasarkan terutama sekali kepada golongan yang paling memerlukan, usaha harus dipertingkat untuk memastikan bahawa ketidaksamarataan terus dikawal dengan baik dan pemangkin kemajuan masyarakat seperti mobiliti sosial tetap kukuh.

Mengenai Penulis:

Abdul Shariff Aboo Kassim dan Dr Nuraliah Norasid adalah penyelidik dari Pusat Kajian Ehwal Islam dan Melayu (RIMA), anak syarikat kajian Angkatan Karyawan Islam (AMP). RIMA ditubuhkan pada 1998 untuk menjalankan kajian strategik yang bertujuan memberi kepimpinan pemikiran (thought leadership) dalam hal ehwal kontemporari Melayu dan Islam.

- BERITAmediacorp/ai

(Gambar: Mediacorp)

 
© Copyright RIMA 2017 · All Rights Reserved